My Persaraan

Monday, May 26, 2014

Lima dinobat Tokoh Guru Pulau Pinang

ARKIB : 21/05/2014

Abdul Rahman Abbas (tengah) bergambar dengan para penerima anugerah Tokoh Guru Negeri 2014 pada majlis sambutan Hari Guru 2014 di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/Sazali Che Din.
 
PERMATANG PAUH 20 Mei - Bekas Pengarah Pendidikan negeri, Ahmad Husain, 62, antara lima yang dinobatkan sebagai Tokoh Guru Peringkat negeri sempena Sambutan Hari Guru peringkat negeri di sini hari ini.
Empat penerima lain ialah bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ara, Rokiah Hamzah, 62; bekas guru N.G. Ganapathy, 75; Pengarah Staf Latihan dan Pembangunan Sekolah Tenby Penang, Dr. Goh Kok Keng, 62; dan bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kepala Batas, Abd. Latif Saidin, 63.
Kesemua mereka menerima medal, sijil dan Sijil Simpanan Premium (SSP) RM1,000 yang disampaikan oleh Yang Dipertua Ne­geri, Tun Abdul Rahman Abbas di Politeknik Seberang Perai di sini hari ini.
Yang turut hadir Toh Puan Majimor Shariff dan Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Ahmad Tamizi Kamaruddin.
Sementara itu, Guru Besar SK Permatang Tok Mahat, Md. Rijani Md. Ibrahim, 58, dan Pengetua Sekolah Menengah Bakti, Calsom Ibrahim, 42, pula dinobat Tokoh Kepemimpinan Sekolah Menengah peringkat negeri.
Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas dinobatkan kepada Noorsiah Ishak, 38, dan Aminah Bee Chinnathambi, 51, (Guru Cemerlang Kurang Upaya).
Empat guru dianugerahkan Guru Inovatif iaitu Masyany Musa, 42, Nor Hayati Abi Khallad, 39, G. Thiiruchelvi, 30, dan S. Bahvani, 30.
Guru Ikon pula dianugerahkan kepada Shamsir Jemain (Penolong Pengarah Unit Kokurikulum JPN).
Sementara itu, Ahmad berkata, pengiktirafan yang diterima itu sebagai satu penghargaan yang amat bermakna dalam sejarahnya bergelar sebagai pendidik dan pengarah.
“Saya bersyukur dengan penghargaan yang diberikan oleh Jabatan Pendidikan dan kerajaan kepada saya yang telah mencurah bakti sebagai pendidik selama 32 tahun," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.
Sehubungan itu, Ahmad berpesan guru yang berjaya adalah mereka yang berjaya mendidik dan menanamkan minat anak-anak untuk belajar dengan gigih.
“Kalau kita tidak pandai mendidik sukar untuk anak-anak murid mendapat ilmu," katanya yang bersara sebagai Pe­ngarah Pendidikan Pulau Pinang pada 2008.
Bagi Rokiah pula, kecintaannya sebagai seorang pendidik tidak pernah luntur dalam kehidupannya.
“Saya masih memberikan sumbang­an kepada Taman Asuhan Kanak-Kanak Perkim di Sungai Ara hingga sekarang.
“Hubungan saya dengan rakan-rakan masih erat walaupun sudah bersara," ujarnya.
Sementara itu, Abdul Rahman dalam ucapannya menasihatkan guru supaya memelihara profesion perguruan, mencerminkan seorang yang intelektual dan mempunyai budi pekerti yang mulia.
Katanya, ini penting kerana guru menjadi pencetus budaya dan ilmu yang menjadi jati diri dalam memartabatkan profesion perguruan agar ia dihormati oleh masyarakat.
“Cabaran globalisi sekarang, guru perlu berfikir dan bertindak ke arah mencapai matlamat dalam membina bangsa yang maju, aman dan makmur serta mampu bersaing di pentas dunia.
“Sejajar dengan itu guru menjadi tulang belakang untuk mendidik anak bangsa," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20140521/wu_03/Lima-dinobat-Tokoh-Guru-Pulau-Pinang#ixzz32pVYh2Tb
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: