My Persaraan

Monday, June 25, 2007

NUTP dakwa kenyataan Hon ‘membuta tuli’

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) semalam membidas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Hon Choon Kim yang didakwa mengeluarkan cadangan ‘membuta tuli’ membabitkan guru seolah-olah tidak menghormati sumbangan guru selama ini.

Presiden NUTP, Anuar Ibrahim, berkata kenyataan Hon yang mahu tempat makan guru tidak diasingkan dengan murid bagi membolehkan tiada perbezaan kualiti makanan disediakan pengusaha kantin, memperlihatkan beliau gagal melihat sumbangan dan pengorbanan guru kepada murid selama ini.“Kami rayu janganlah mana-mana timbalan menteri melontarkan cadangan yang kadang-kadang tidak menghormati maruah guru seperti dikeluarkan timbalan menteri berhubung soal mengatasi kes keracunan makanan di sekolah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Hon kelmarin yang menyebut adalah tidak praktikal sekiranya ruang makan pelajar diasingkan daripada guru kerana ia boleh menyebabkan penyediaan dua kualiti makanan berbeza mengikut kuasa beli.

“Saya tidak nampak rasional mengasingkan tempat makan di kantin, termasuk menyediakan bilik khas untuk guru. Bagi saya ia tidak praktikal kerana akan menyebabkan pengusaha kantin memberi khidmat dan kualiti makanan berbeza yang mengutamakan guru,” kata Hon.

Beliau berkata, cadang Hon itu boleh dilaksanakan jika menteri atau timbalan menteri sanggup tidak diasingkan ketika menikmati makanan dalam majlis atau keraian yang dianjurkan kerajaan mahu pun pihak lain.

“NUTP cadangkan supaya semua menteri dan timbalan menteri tidak lagi disediakan meja atau bilik khas untuk semua jamuan yang dianjurkan dan perlu beratur untuk mengambil makanan sendiri. Adakah Hon sanggup?“Kami tidak mengharapkan yang bukan-bukan, tetapi hormatilah sedikit maruah kami dengan tidak mencadangkan sesuatu secara membuta-tuli tanpa menghiraukan perasaan semua guru. Perkara ini mungkin kecil bagi sesetengah pihak, tetapi lama kelamaan jika dibiarkan ia mampu melunturkan semangat guru,” katanya.

Beliau berkata, cadangan sebegitu tidak akan timbul sama sekali jika Hon memahami konsep yang diterapkan kepada lebih 10,000 kantin sekolah di seluruh negara.

“Adalah tidak adil meletakkan tanggungjawab semua perkara kepada guru apabila terjadi sesuatu perkara seperti keracunan makanan. Takkan semua guru nak jadi ‘food tester’ kantin sekolah dan kalau tak mati baru nak umumkan makanan selamat dan suruh murid makan?

“Orang yang mencadangkan perkara sedemikian sebenarnya tidak faham apa yang berlaku di semua kantin sekolah seluruh negara. Kebanyakan guru makan apa yang dimakan murid kerana pihak kantin menyediakan makanan sama tetapi mungkin ada tambahan lauk sedikit.

“Guru juga berhak mendapat ruang makan berasingan untuk menjarakkan sedikit hubungan antara guru dan pelajar bagi mewujudkan perasaan hormat. Apa lagi memang ada guru yang gemar makan bersama murid mereka dan kebanyakan sekolah luar bandar juga tidak mempunyai ruang makan berasingan,” katanya.

Anuar berkata, Hon sebenarnya tidak menyedari kewujudan Jawatankuasa Kantin di semua sekolah seluruh negara yang dianggotai semua guru yang memantau penyediaan makanan kepada murid setiap hari.“Guru akan makan makanan yang disediakan setiap hari dan ia dicatat dalam laporan khusus, jadi tidak logik jika mengatakan makanan guru dan pelajar mereka berbeza,” katanya.