My Persaraan

Sunday, September 21, 2008

tazkirah 7

Memuliakan tetamu
Hadith:
Dari Abu Hurairah r.a katanya:"Rasulullah SAW bersabda:" Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, maka janganlah dia menyakiti tetangganya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, hendaklah dia memuliakan tetamunya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam." (Muslim)

Huraian:
Tetamu, secara pasti datang dengan maksud dan tujuan tertentu. Dalam konteks inilah Allah dengan tegas membuat pertimbangan yang begitu besar agar memuliakan tetamu dan meletakkan nilainya sama dengan Beriman Kepada Allah dan Hari Kemudian (kiamat). Dengan perkataan lain seseorang itu belum disebut beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, selama ia tidak memuliakan tetamunya.

Oleh itu apabila tetamu datang, bagaimana pun bentuk dan rupa tetamu itu, sama ada kaya, miskin, Islam ataupun kafir, Allah memerintahkan kita agar memuliakan mereka. Pernah diriwayatkan bahawa Nabi Sulaiman a.s pernah ditegur oleh Allah SWT, kerana pada saat baginda didatangi seorang tetamu dari kaum kafir, baginda tidak sepenuh hati memuliakan tetamunya itu. Baginda merasa tidak perlu memuliakan dan menghargai tetamunya seperti baginda memuliakan dan menghargai tetamunya dari sesama pengikutnya.

‘Disebabkan ia bukan umatku yang beriman’, begitulah fikir Nabi Sulaiman. Lantas baginda hanya memberinya minum dan bercakap seadanya. Setelah tetamu itu pulang, datanglah malaikat Jibril a.s menyampaikan teguran Allah: "Wahai Nabi Allah, Allah menegurmu, mengapa engkau perlakukan tetamu seperti itu ? Jawab nabi Sulaiman:"Bukankah dia (tetamu itu) dari golongan kafir?" Jibril bertanya: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi ini?" "Allah!" Jawab Nabi Sulaiman penuh yakin. "Siapakah yang menciptakan malaikat, jin dan manusia?" "Allah!" "Siapakah yang menciptakan tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan?" "Allah!" "Siapakah yang menciptakan orang kafir itu?" "Allah!"

"Lalu, berhakkah engkau berlaku tidak adil terhadap ciptaan Allah? Sementara Allah adalah zat Yang Maha Adil?" Nabi Sulaiman a.s terdiam dan terus bersujud.

"Ya, Allah! Ampunilah hamba-Mu yang telah berbuat zalim ini." Kemudian malaikat Jibril menyampaikan wahyu Allah:"Wahai nabi Allah, datangilah dan pohonlah kemaafan kepada orang itu. Ampunan Allah tergantung daripada kemaafannya.".

Bergegaslah Nabi Sulaiman mencari tetamunya tadi. Setelah bertanya ke sana ke mari dan mencari-cari, ternyata, tetamunya itu sudah jauh berjalan meninggalkan kota. Nabi Sulaiman a.s dengan pantas mengejar tetamunya itu. Setelah bertemu, dan dengan nafas yang masih termengah-mengah, baginda berkata: "Saudara, tunggu...!" Tetamu tadi menoleh dan hairan melihat keadaan Nabi Sulaiman. "Kenapa?" "Saudara... sudikah engkau memaafkan perlakuan saya , ketika mana saudara menjadi tetamu di rumah saya tadi?" Orang itu diam.

Dalam hatinya, sebenarnya dia merasa wajar diperlakukan seperti itu, kerana dia memang bukan termasuk di dalam golongan pengikut Nabi Sulaiman. Dia tidak menerima ajaran Tauhid yang dibawa oleh baginda. Tetapi dia terus juga bertanya: "Kenapa, wahai Sulaiman?" "Allah menegurku, setelah engkau pulang dari kediamanku."

"Allah? Siapakah dia?" Tetamu itu bertanya. "Allah adalah Tuhan, Tuhan Kami dan Tuhan Engkau, Yang menciptakan langit dan bumi, dan semua isinya. Dia yang menciptakan malaikat, jin dan manusia. Dia Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya."

"Lalu, kenapa Dia menegurmu?" "Allah menegurku, kerana aku sudah tidak berlaku adil terhadapmu. Aku tidak memuliakanmu. Allah yang Maha Kuasa selalu bersifat adil terhadap semua hamba dan ciptaan-Nya, mengapa aku berlaku tidak adil terhadapmu?"

"Sebegitukah Tuhanmu wahai Sulaiman, memperlakukan aku, walaupun aku bukan dari golonganmu?" Tetamu itu bertanya penuh taajub ."Iya...! Maafkan sikapku tadi wahai saudara, ampunan Allah tergantung dengan kemaafanmu" Nabi Sulaiman meminta.

"Saksikanlah, wahai Sulaiman! Asyhadu alla ilaa ha illallah, Wa anta Rasulullah!" Orang itu memeluk nabi Sulaiman a.s. Nabi Sulaiman pun memeluk tetamunya itu dengan penuh rasa terharu.

No comments: